Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
Kali Ke-93 yang bersidang pada 21 Februari 2011 telah membincangkan
Hukum Memakan Daging/Isi Belangkas dan Telurnya. Muzakarah telah
memutuskan seperti berikut:
- Setelah meneliti keterangan,
hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan
bahawa tiada nas qati’e yang mengharamkan manusia memakan belangkas.
Pakar Haiwan Hidupan Air menyatakan
bahawa belangkas adalah haiwan yang hidup di laut dalam dan hanya naik
ke pantai untuk bertelur. Ia adalah sejenis haiwan satu alam yang hidup
di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia tidak boleh kekal
hidup di darat kerana bernafas menggunakan insang.
-
Sehubungan itu, selaras dengan pandangan Jumhur Ulama’ yang menyatakan
bahawa haiwan yang tinggal di dalam laut semata-mata dan tidak boleh
hidup tanpa air adalah halal dimakan, maka Muzakarah bersetuju
memutuskan bahawa hukum memakan daging/isi dan telur belangkas adalah
diharuskan (HALAL).