Pelakon kacak yang digilai ramai wanita, Mohamed Hadi Putera Halim, 31, atau lebih dikenali dengan panggilan Adi Putra mengakui bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini tanpa isterinya di sisi.
Semuanya kerana Adi Putra akan berangkat ke tanah suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah buat kali ketiga pada bulan Ogos depan dan menyambut hari raya di sana.
Menerusi akhbar Mega Hits, Adi Putra berkata, dia tidak sabar untuk berkunjung ke Mekah sekali lagi untuk merasai nikmat Ramadhan di sana.
Jejaka yang juga hero filem Aku Terima Nikahnya itu memberitahu dia tidak membawa isterinya, Zuhaida Yusof, 37, untuk umrah kali ini kerana isterinya itu sudah kehabisan cuti.
“Kali ini saya pergi umrah tanpa isteri. Bukan tak nak bawa tapi dia tidak dapat ikut kerana cuti dah habis. Sebenarnya kami rancang untuk pergi berdua pada Februari tahun depan.
“Pemergian saya pada 6 Ogos ini bersama syarikat Zahafiz Travel & Tour. Saya tidak sabar untuk merasai suasana Ramadhan dan beraya di sana. Sehari selepas raya, barulah saya kembali ke sini,” kata Adi Putera.