KUALA LUMPUR: Kerana tidak memakain pakaian yang mempunyai nama sekolah, seramai lima orang pelajar tingkatan satu sekolah menengah lelaki di Ampang diarahkan menanggalkan seluar dan baju.
Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 25 Mac lalu dan ibu bapa kanak-kanak tersebut telah tampil membuat pendedahan mengenai kejadian tersebut.
Menurut bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan, tindakan itu dikenakan ke atas anaknya telah mengakibat anaknya berasa malu dan enggan ke sekolah.
“Tindakan guru disiplin sekolah itu adalah tidak wajar memandangkan cara hukuman yang dikenakan ke atas mereka jelas jauh menyimpang dari etika seorang pendidik.
“Saya kecewa dengan guru berkenaan, anak saya dan rakan-rakan diarahkan menanggalkan seluar dan ada juga baju hanya kerana tidak memakai pakaian seragam yang ada nama sekolah.
“Saya akui ada kesilapan anak saya disitu, cuma apa yang saya cukup ralat, mengapa hukuman begitu dikenakan. Dan ada di kalangan lima dari mereka ini pada ketika itu tidak memakai seluar dalam pun.
“Saya tidak faham mengapa cikgu berkenaan mengambil tindakan sedemikian,” katanya dipetik dari The Rakyat Post hari ini.
Mereka telah membuat satu laporan polis dan berharap tindakan sewajarnya diambil kepapa pihak sekolah kerana tindakan denda tersebut adalah keterlaluan.
Malah, mereka turut memanjangkan perkara ini kepada Pejabat Pelajaran dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan kes ini mendapat tindakan sewajarnya.