Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, guru hanya terlibat pada peringkat awal untuk menggubal soalan sahaja.
“Ini bukan perkara baharu, pernah juga berlaku pada 1998, kertas peperiksaan untuk Sijil Pelajaran Malaysia ada yang bocor dan pihak yang bersalah adalah pembantu am.
“Saya yakin kertas dibocorkan di peringkat pembungkusan kerana kalau dilihat kembali gambar-gambar yang dihantar melalui laman sosial, tertera perkataan ‘hak cipta’, bermakna ia sudah lengkap dan bersedia untuk dihantar,” katanya kepada Sinar Harian.
Pada 1998, Kementerian Pendidikan mengesahkan tiga kertas soalan peperiksaan SPM bocor namun ujian semula tidak dibuat memandangkan penyebaran soalan bocor itu didapati tidak meluas.
Mohamed Sabri berkata, penyiasatan harus dilakukan secepat mungkin supaya pihak yang bersalah dalam insiden terbaharu ini dikenakan hukuman setimpal.
“Saya sendiri kesal dan sedih dengan apa yang berlaku, tapi kita tetap juga risau kalau-kalau kertas subjek lain bocor.
“Sudah masanya kerajaan mengubah cara pengendalian kertas peperiksaan supaya perkara ini tidak berulang. Kalau seseorang pegawai itu terlalu lama dalam bidangnya, elok sangat jika ditukar,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau berkata tidak wajar untuk menyalahkan guru 100 peratus jika ada yang turut menjadi penyebar soalan yang telah dibocorkan.
“Isunya sekarang adalah pihak berwajib perlu mengambil langkah tegas,"katanya.