Gombak: Anak kecil berusia dua tahun yang tidak mengerti apa berlaku di sekelilingnya itu berusaha memanjat kotak kayu bertutup Jalur Gemilang memuatkan jasad ibunya, Hamfazlin Sham Mohamed Ariffin di sebuah kediaman di Wangsa Maju dekat sini, hari ini.
Tanpa mengerti kesedihan menyelubungi keluarganya, Alif Hazim Ahmad Tarmizi yang bermain-main dekat keranda Hamfazlin kelihatan ceria seperti kanak-kanak lain tanpa menunjukkan kerinduan pada ibunya.
Mungkin Alif Hazim sudah terbiasa ditinggalkan Hamfazlin yang sering bertugas ke luar negara selaku pramugari Penerbangan Malaysia (MAS) sehingga tragedi menyayat hati itu meragut nyawa wanita terbabit dalam penerbangan MH17 Amsterdam-Kuala Lumpur akibat ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai lalu.
Keletah Alif Hazim tidak dilarang, hanya diperhatikan oleh ahli keluarga dan sanak saudara yang tersentuh apabila mengenangkan nasib anak kecil itu yang bakal membesar tanpa kasih sayang seorang ibu kandung.