Semua pada kenderaan yang dipandu cukup syarat. Cukai jalan dan lesen
memandu masih sah laku, cermin tidak gelap, pakai tali pinggang keledar,
tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.
Boleh dikatakan tidak ada silapnya bagi seorang lelaki yang enggan dikenali selepas dikenakan saman polis di Banting pagi tadi.
Sambil tertanya-tanya apa kesalahannya, polis yang mengeluarkan saman
menulis kesalahan yang dilakukan adalah ‘Tidak berpakaian kemas semasa
memandu’.
"Saya bukan telanjang ketika memandu. Masih berpakaian tetapi saya
dikenakan saman yang tidak pernah saya dengar iaitu menjadi kesalahan
memandu jika tidak berpakaian kemas di bawah Akta Pengangkutan Jalan
1987.
"Saya disaman oleh anggota polis Peronda Lebuh Raya Malaysia Cawangan
Trafik Bukit Aman. Masuk akal atau tidak saman dikeluarkan atas
kesalahan tidak berpakaian kemas?" katanya sambil menunjukkan surat
saman yang diterima.
Jelasnya, dia boleh terima jika saman yang dikeluarkan itu atas
kesalahan biasa tetapi saman tidak berpakaian kemas belum pernah
didengar.
"Saya mohon penjelasan pihak Polis Diraja Malaysia bagi mengelak
kekeliruan ini kerana ini adalah kali pertama saman seumpama itu
dikeluarkan ke atas diri saya," katanya.