Pelakon veteran Kuswadinata, 74, berada dalam keadaan tenat di Hospital Ampang di sini akibat menghidap penyakit pendarahan usus kecil dan kanser kelenjar sejak beberapa tahun lalu.
Menurut anak bongsunya Rizal, 23, keadaan bapanya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pendarahan pada ususnya merebak dan jantung pelakon itu akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.
"Sejak dimasukkan ke wad (Hospital Ampang) pada 7 Oktober lalu, ayah diminta berpuasa sehinggalah ke hari ini (Selasa) untuk mengurangkan pendarahan dalam badan.
"Tetapi doktor sudah menjelaskan pada kami sekeluarga bahawa ayah tiada harapan untuk hidup, walaupun daripada segi luarannya dia nampak sihat.
"Kami tak mampu nak buat apa-apa melainkan menjaga dia sebaik mungkin serta menunaikan segala kehendaknya. Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Tuhan," katanya.