Menurut pengurusnya, Adlina dari syarikat rakaman Sony Music Malaysia yang dihubungi sebentar tadi, penyanyi muda itu dijadualkan membuat persembahan sempena PJ Half Marathon 2012 anjuran Star Publications apabila mengadu sakit dada.
"Masa saya ambil dia di rumah, dia okay. Boleh gelak-gelak. Tapi bila kami sampai di 'venue', dia mengadu sakit dada, tak boleh nafas," katanya.
Aliff dibawa ke Pusat Perubatan Kelana Jaya sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk menjalani pemeriksaan lanjut dengan pakar.
"Doktor kata dia sesak nafas bukannya diserang sakit jantung. Doktor mengesyaki mungkin dia tak cukup tidur. Dia kena buat rawatan susulan esok.
"Ini kali pertama ia berlaku. Doktor nasihatkan dia untuk banyak berehat."
Selepas persembahannya di PJ Half Marathon, Aliff sepatutnya terbang ke Singapura untuk menjalani sesi latihan di Esplanade untuk sebuah persembahan pada 12 Oktober ini.