Penyanyi dari Singapura Aliff Aziz berhasrat untuk menghantar ibu dan bapanya ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah Haji dengan menggunakan wang hasil kerja titik peluhnya sendiri.'
Pemilik nama sebenar Mohammad Aliff Aziz, 21, ini berkata, ia merupakan sebahagian perancangan besarnya dan berharap, keputusan yang dibuat untuk menetap di Kuala Lumpur (KL) bagi mengembangkan karier nyanyiannya adalah tepat agar dapat menjana pemdapatan yang lebih bagus.
"Meninggalkan keluarga di Singapura demi mengejar impian dalam hidup bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan.
"Dan sejak saya berhijrah ke KL sembilan bulan lalu, saya sudah pun memiliki misi yang tersendiri iaitu mahu mengukuhkan kerjaya dan mengumpul wang supaya dapat menghantar ibu dan bapa saya ke Mekah.
"Hasrat itu sudah lama saya simpan dan harap-harap ia akan tercapai dan semestinya ia akan menggembirakan mereka," katanya.