Pelakon Sharifah Sofia melalui pengalaman telah dihalau keluar oleh pemilik sebuah disko di sini kerana kehadirannya ke pusat hiburan berkenaan dalam keadaan berhijab.
Sofia atau nama sebenarnya Sharifah Sofia Syed Hussein, 27, yang bertudung sejak 1 Julai lalu berkata, peristiwa itu berlaku ketika dia mahu menghabiskan masa di pusat hiburan yang menjadi aktivitinya selama ini.
“Saya fikir apa salahnya wanita bertudung seperti saya untuk masuk pusat hiburan? Semasa di dalam pusat itu, kebanyakan wanita menunjukkan reaksi pelik terhadap saya sehinggalah pekerja di situ meminta saya keluar sedangkan mereka kenal dengan saya.
“Masa itu saya tertanya-tanya kenapa kehadiran saya dipersoalkan kerana saya bukannya mengambil minuman keras ataupun buat perkara yang tidak senonoh pun?” katanya pada majlis berbuka puasa bersama artis-artis veteran di Saloma Bistro di sini, Rabu.
Jelasnya, selepas kejadian itu, dia berkongsi pengalaman tersebut dengan para peminat menerusi Twitter miliknya serta membaca buku-buku panduan agama Islam, barulah dia memahami kewajaran untuk menjauhkan diri daripada tempat-tempat tersebut jika mahu berhijrah menjadi lebih baik.