Hubungan pasangan Robert Pattinson dan Kristen Stewart yang bertahan selama tiga tahun akhirnya retak, berikutan dengan kecurangan Stewart yang telah tampil membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka semalam.
Dipetik dari laporan Dailymail, Pattinson yang dikatakan terlalu kecewa dengan kecurangan yang dilakukan oleh kekasihnya itu telah bertindak keluar dari rumah yang didiami oleh mereka di Los Angeles. Bintang "Twilight" itu dikatakan mahu mengasingkan diri tanpa dihubungi terutamanya oleh Stewart buat masa ini.
Pada bulan April lalu ketika ditemubual oleh Vanity Fair, aktor kelahiran British ini memberitahu bahawa beliau tidak suka berlaku curang.
"Saya tak faham kenapa orang sanggup berlaku curang," kata beliau.
"Saya bukan jenis lelaki begitu. Kalau saya memilih untuk bersama seseorang, itu sebab atas kemahuan saya sendiri. Kalau saya ada hubungan istimewa, saya akan berikan seratus peratus."
Manakala Kristen pula, sedang berada dalam keadaan yang sangat tertekan di atas kesilapan besar yang dibuat beliau dengan mempunyai hubungan sulit dengan pengarah filem "Snow White And The Huntsman", Rupert Sanders, yang merupakan suami kepada model Liberty Ross dan juga bapa kepada dua orang anak.