“Saya sangat bersyukur kerana ketika kejadian, anak-anak tidak diapa-apakan, malah mereka langsung tidak menyedari rumah kami sebenarnya sedang dirompak menyebabkan kehilangan barang kemas milik anak dianggarkan bernilai RM1,500,” kata pengacara dan pelakon, Sharifah Shahira Syed Abu Bakar, 38.
Ketika kejadian malam kelmarin itu, semua anaknya, Allisya, 14, Airell, 8, Airra, 5, serta Auddra, 3, berada bersama pembantu rumah dan langsung tidak menyedari rumah mereka di Taman Melawati, dekat sini, dipecah masuk manakala Shahira berada di Miri, Sarawak dan suaminya, Ijoy Azhari, menghadiri majlis perkahwinan rakan.
Shahira yang pulang bersama Ijoy jam 2.30 pagi semalam, mengesyaki ada sesuatu tidak kena selepas pintu bilik tidur gagal dibuka sedangkan ia tidak berkunci sebelumnya.
Menurutnya, suaminya keluar semula dan memanjat balkoni dari luar untuk masuk ke dalam bilik sebelum terkejut mendapati pintu terkopak dan baru menyedari kediaman mereka dipecah masuk.