Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan, patah tangan dan kaki kiri hingga terpaksa ditahan di wad kanak-kanak Hospital Sultan Ismail (HSI), dipercayai didera pengasuh di sebuah rumah di Taman Bukit Dahlia di sini, Jumaat lalu.
Kecederaan mangsa, Muhammad Zafran Anaqi Muhammad Razali atau Zafran dikesan bapanya, Muhammad Razali Hamzah, 32, ketika membawanya keluar dari rumah pengasuh yang juga jirannya kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Muhammad Razali yang juga warden Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Johor Bahru berkata, dia bersama isteri, Salmah Aya, 31, seorang guru, pada mulanya cuba memujuk Zafran selepas bayinya itu tidak berhenti menangis selama hampir sejam.