Ia merupakan pengalaman yang paling menakutkan, menyakitkan dan tidak akan dilupakan oleh Aesha Mohammadzai yang berasal dari Afghanistan dan kini mendapat suaka untuk menetap di Amerika Syarikat.
Gara-gara berkahwin paksa, dia menjadi mangsa apabila hidungnya dipotong.
Perkara itu berlaku beberapa tahun lalu, kini Aesha, 22 yang mendapat hidung baru selepas menjadi pembedahan, cuba melupakan peristiwa berkenaan dan mahu menjalani hidup baru di negara orang.
Aesha baru berusia 12 tahun apabila bapanya telah berjanji untuk mengahwinkannya dengan seorang pejuang Taliban selepas dia kalah judi.
Selepas diserahkan kepada keluarga mertuanya, Aesha telah didera dan disuruh tidur dalam kandang bersama binatang.
Pengalaman menakutkan itu bermula selepas dia cuba melarikan diri, namun dia tertangkap menyebabkan suaminya bertindak memotong hidung dan telinganya sebagai hukuman.
“Apabila mereka memotong hidung dan telinga saya, saya pengsan sebelum terjaga pada waktu tengah malam apabila merasakan hidung saya dimasuki air.
“Saya membuka mata, namun tidak dapat melihat apa-apa kerana muka saya berlumuran dengan darah,’’ katanya.
Ketika itu, dia yang ditinggalkan di kawasan pergunungan, telah merangkak ke rumah datuknya sebelum dia dibawa ke sebuah pusat perubatan Amerika dan terpaksa dirawat di situ selama 10 minggu.
Aesha kemudiannya dibawa secara rahsia ke pusat perlindungan di Kabulandin pada bulan Ogos 2010 sebelum dibawa ke Amerika Syarikat dan menetap bersama keluarga angkat.
Namun Aesha yang tidak langsung boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, sentiasa bermurung hingga menyebabkan pihak terbabit bimbang akan kesihatannya.
Malah dia juga menghantukkan kepala ke dinding, menarik rambut dan menggigit jarinya sebelum keluarga angkatnya menghubungi 911 kerana tidak dapat lagi mengawal remaja tersebut.
Dia kemudiannya dirawat di hospital dan sejak itu pembedahan semula bagi membentuk hidungnya telah dirancang namun ia terpaksa mengambil masa yang lama kerana keadaan emosinya yang tidak stabil.
Aesha kemudiannya dirawat doktor sakit jiwa, Shiphra Bakhchi, bagi membolehkannya berdepan dengan kesan psikologi akibat penderaan berkenaan.
Hanya selepas emosinya berjaya dikawal, barulah pembedahan itu dijalankan dan kini Aesha sudah menjadi manusia yang berbeza dan gembira dengan kehidupannya yang dilaluinya kini.