Gara-gara menggunakan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) milik
rakannya untuk mengeluarkan wang tanpa pengetahuan mangsa, seorang wanita hamil terpaksa meringkuk di penjara selama tujuh bulan.Nor Shafarilla Ahmad Tahir, 27, dihantar ke Penjara Kajang setelah dia gagal membayar denda berjumlah RM7,000 yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadapnya.
Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh yang tidak bekerja itu mengaku bersalah atas keempat-empat pertuduhan yang dihadapinya.
Dia didakwa dengan niat curang menggunakan kad ATM Maybank kepunyaan Nurul Haireena Isnin untuk mengeluarkan wang RM300, RM500, RM40 dan RM250 yang kesemuanya berjumlah RM1,090 sebanyak empat kali.
Kesalahan itu dilakukannya antara pukul 2.37 petang, 20 Oktober 2010 dan pukul 12.35 tengah hari, 1 November lalu di empat buah ATM pelbagai bank yang terletak di Sentul, Jelatek, Jalan Kuching dan Jalan Genting-Klang di sini.