Pasangan penerjun Bryan Nickson Lomas dan Yeoh Ken Nee mengungguli acara 3m papan anjal
seirama untuk menyumbang pingat emas ke-10 untuk Malaysia pada Sukan SEA ke-26 di sini hari ini.Penerjun berpengalaman itu menghasilkan emas kedua menerusi sukan terjun di Pusat Akuatik Jakabaring di sini selepas pingat emas dalam acara yang sama diperolehi menerusi gandingan penerjun wanita Leong Mun Yee dan Ng Yan Yee semalam.
Bryan-Yeoh berjaya melakukan terjunan dengan tahap kesukaran yang lebih tinggi dalam enam terjunan untuk mengumpul 392.31 mata bagi mengenepikan cabaran penerjun Filipina dan tuan rumah Indonesia.
Pasangan Filipina Nino Crog dan Jaime Asok mengumpul 342.99 mata untuk membawa pulang pingat perak, manakala gangsa menjadi milik Andriyan Andriyan dan Ahmad S. Jamjami dari Indonesia dengan 332.40 mata.
"Walaupun saingan tidak sengit seperti kejohanan antarabangsa yang lain, kami tetap buat yang terbaik dan kami puas hati dengan prestasi hari ini,” kata Bryan kepada wartawan Malaysia selepas majlis penyampaian pingat.