Seorang pelajar tingkatan satu maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah ambulans yang dalam perjalanan mengambil seorang pesakit di persimpangan jalan ke Kampung Pokok Asam, Jalan Langgar di sini malam kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, mangsa, Muhammad Mu'az Johari, 13, dari Kampung Alor Raja, Jalan Langgar, mengalami kecederaan parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.
Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan menggunakan ambulans sama yang terlibat dalam kemalangan itu.
Muhammad Mu'az bagaimanapun meninggal dunia kira-kira pukul 10 pagi semalam ketika mendapatkan rawatan di HSB.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan memberitahu, kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kris bertembung dengan ambulans dari HSB yang ketika itu mahu membelok ke satu simpang.
"Kita dimaklumkan bahawa ketika kejadian, beberapa kereta telah berhenti dan memberi laluan kepada ambulans untuk membelok ke simpang menghala Kampung Pokok Asam.
"Bagaimanapun, ketika ambulans itu membelok, sebuah motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba datang dari arah bertentangan dan bertembung dengan ambulans tersebut," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Kata beliau, mangsa yang dipercayai tidak memakai topi keledar mengalami kecederaan parah di kepala akibat hentakan kuat pada cermin ambulans selain kaki kanannya patah.
"Pemandu ambulans dan tiga pegawai perubatan di dalam ambulans tidak mengalami kecederaan dan keterangan sudah diambil daripada mereka," ujarnya sambil memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.