SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , » Cinta Sejati Tomok Dan Ayu

Cinta Sejati Tomok Dan Ayu


PERTEMUAN di sebuah kedai makan dan bertukar-tukar nombor telefon ketika menjalani penggambaran sebuah telefilem kira-kira lapan tahun lalu, akhirnya membawa penyanyi Shah Indrawan Ismail atau Tomok
dengan wanita pilihan hatinya, Siti Rahayu Abas ke jenjang pelamin.
Penyanyi yang merupakan bekas juara rancangan realiti One In A Million (OIAM) itu meluahkan rasa syukurnya apabila impian untuk menikahi wanita yang sangat dicintainya itu terlaksana.
“Hubungan kami sebagai pasangan kekasih berlanjutan selama lapan tahun. Memang tidak dinafikan pelbagai halangan yang terpaksa ditempuhi sepanjang kami bersama.
“Namun, apa yang diimpikan selama ini iaitu untuk menjadikan Ayu sebagai isteri telah pun menjadi realiti dan tentunya saya sangat berharap agar ikatan ini akan kekal sampai bila-bila,” ujarnya selepas selesai upacara pernikahan.
Ditanya tentang tempoh yang cukup lama diambil oleh mereka berdua untuk mendirikan rumah tangga, Tomok menjelaskan semuanya bergantung kepada jodoh yang telah ditentukan.
Jelasnya lagi, kesibukan mengurus kerjaya masing-masing juga adalah salah satu sebab mereka jarang membicarakan soal perkahwinan, di samping mahu mencari keserasian bersama.
“Sebenarnya kami menjalinkan hubungan sebagai kawan biasa dalam tempoh setahun sahaja. Selepas itu, saya ambil keputusan untuk menjadikannya sebagai kekasih dan tidak sangka Ayu menerimanya.
“Kemudian saya telah melamarnya untuk dijadikan isteri kira-kira dua tahun lalu selepas saya menjuarai OIAM. Malah, kami berdua telah sepakat untuk terus berkahwin tanpa mengikat tali pertunangan,” ujarnya.
Mengenai ciri-ciri yang membuatkannya tertarik dengan Ayu, beritahu Tomok, isterinya itu adalah seorang wanita yang sangat penyabar dan pandai memasak makanan kegemarannya itu masakan asam pedas.
Tentang lokasi bulan madu pula, setakat ini mereka masih belum membuat keputusan yang muktamad memandangkan pada 18 Julai ini, Tomok akan mula menjalani sebuah penggambaran telefilem berjudul Diari Kampus Biru di Bandung, Indonesia.
“Memang jadual saya begitu padat dan isteri pula sangat memahami. Insya-Allah, kalau masing-masing ada masa terluang, kami akan tetap berbulan madu di pulau yang menarik memandangkan isteri suka dengan lokasi sebegitu,” ujarnya.
Sementara itu, Ayu pula menjelaskan walaupun terdapat perbezaan umur yang ketara di antara mereka berdua, namun ia bukanlah satu penghalang besar untuk menjadi pasangan yang serasi.
“Mulanya memang agak sukar kerana usia suami yang lima tahun lebih muda, tetapi saya sangat bersyukur kerana memiliki seorang lelaki yang mempunyai sifat penyabar dan sering mengambil berat terhadap diri saya.
“Malah, kini saya juga sudah bersedia untuk menjadi isteri kepada seorang selebriti dan yang lebih menggembirakan lagi apabila suami tidak menghalang saya meneruskan kerjaya sebagai seorang pramugari,” jelasnya.
Menariknya, usia Tomok baru 27 tahun, manakala isterinya pula yang merupakan seorang pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) sudah berusia 32 tahun.
Kedua-duanya selamat menjadi pasangan suami isteri setelah dinikahkan dalam satu majlis yang cukup meriah bertempat di Dewan Serbaguna Taman Sri Keramat, Kuala Lumpur pada malam Jumaat lalu.
Dilihat cukup segak dan anggun dengan sepersalinan berwarna kuning keemasan, Tomok dan Ayu telah dinikahkan oleh Pegawai Pentadbir Agama/Pendaftar Kanan Pejabat Agama Islam daerah Gombak, Abas Mohd. Saidon.
Pada majlis tersebut, pengantin perempuan menerima wang hantaran RM12,697.11 serta sembilan dulang hantaran, antaranya telekung, beg, minyak wangi, cincin, jam, al-Quran, kek dan sirih junjung.
Ia dibalas pula dengan 11 dulang kepada pengantin lelaki seperti jam, coklat, minyak wangi, kasut, al-Quran, baju Melayu, sejadah dan beg duit.
Selain majlis resepsi pihak perempuan yang diadakan di tempat yang sama pada Sabtu lalu, Tomok dan Ayu juga akan diraikan dalam satu majlis istimewa bersama peminat dan pihak media pada 6 Julai ini di Saloma Bistro.
Majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki pula akan berlangsung pada 9 Julai di rumah pengantin lelaki di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir