Makan dulu atau solat dulu?
Soalan: Ramai orang menyangka bahawa sekalipun makanan sudah terhidang,
yang terbaik itu solat dahulu, selepas itu barulah makan. Sehingga ada
yang apabila mereka duduk di keliling hidangan, kemudian bangun
meninggalkannya dan pergi menunaikan solat. Amalan seperti itu dirasakan
oleh sesetengah pihak sebagai lebih mengikut kehendak agama. Apakah
pandangan?
Jawapan: Sebenarnya, jika kita merujuk kepada
hadis-hadis Nabi s.a.w kita akan dapati itu amalan yang tidak tepat.
Fahami perkara-perkara berikut;
1. Antaranya hadis daripada Anas bin Malik r.a.: bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِذَا قُدِّمَ العَشَاءُ، فَابْدَءُوا بِهِ قَبْلَ أَنْ تُصَلُّوا صَلاَةَ المَغْرِبِ، وَلاَ تَعْجَلُوا عَنْ عَشَائِكُمْ
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah makan sebelum
kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah semasa
makan malam kamu.”(Riwayat Bukhari dan Muslim).
2. Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, baginda s.a.w. bersabda:
إِذَا وُضِعَ عَشَاءُ أَحَدِكُمْ وَأُقِيمَتِ الصَّلاَةُ، فَابْدَءُوا
بِالعَشَاءِ وَلاَ يَعْجَلْ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْهُ» وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ:
«يُوضَعُ لَهُ الطَّعَامُ، وَتُقَامُ الصَّلاَةُ، فَلاَ يَأْتِيهَا حَتَّى
يَفْرُغَ، وَإِنَّهُ لَيَسْمَعُ قِرَاءَةَ الإِمَامِ
“Apabila
dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah
didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia
tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai.” Bahawa Ibn Umar r.a. apabila
dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka
beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan
sekalipun beliau mendengar bacaan imam. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
3. Hikmah daripada arahan Nabi s.a.w agar mendahulukan makan ialah agar
pemikiran kita tidak diganggu ketika solat dengan ingatan kepada
makanan yang telah kita lihat terhidang di hadapan mata sebelum bersolat
tadi. Ini boleh mengganggu kekusyukan solat seseorang. Dengan itu para
ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan
mata. Ini merangkumi semua solat, bukan khusus pada solat Maghrib
sahaja. Kata al-Imam an-Nawawi (meninggal 676H) dalam Sharh Sahih Muslim
mengulas hadis-hadis berkaitan: “Di dalam hadis-hadis tersebut
dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan
kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk”.
4. Ini bukan bererti kita mengutamakan makan dari solat. Sebaliknya
kita makan terlebih dahulu kerana ingin menjaga kekusyukan solat.
Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) dalam Fath al-Bari
memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H): “Ada orang menyangka bahawa
mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke
atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga
hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan.
Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak
memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
5. Dengan itu,
makan dahulu setelah makanan terhidang kemudian baru bersolat adalah
sunnah Nabi s.a.w. Maka apabila makanan terhidang, ibubapa hendaklah
memberikan anak-anak makan terlebih dahulu ketika berbuka, sehingga
mereka selesai maka barulah bersolat. Inilah sunnah.
6. Melakukan
susunan yang seperti itu, mendapat pahala. Namun makanlah dengan kadar
yang diajar oleh Islam, bukan makan sehingga mengah lalu gagal bersolat
dengan sempurna.
7. Di sana ada cara untuk mengelakkan kemakruhan
ini, iaitu elakkan menghidangkan makanan terlebih dahulu sebelum solat.
Elakkan mata terpandang kepada makanan yang telah dihidangkan. Selepas
selesai bersolat barulah dihidangkan. Namun, jika kelaparan itu kuat,
bau makanan telah masuk ke hidung, sehingga ingatan kepada makanan
sangat kuat sekali belum melihatnya, hendaklah dia makan terlebih
dahulu.
8. Juga sudah pasti tidak makruh bersolat sekalipun
makanan sudah terhidang jika keinginan kepada makanan tiada. Ini kerana
punca (‘illah) larangan bersolat semasa makanan terhidang ialah agar
tidak mengganggu kusyuk. Jika seseorang memang tiada keinginan kepada
makanan, sudah pasti tidak menggangu kusyuk sekalipun makanan sudah
terhidang.