PERLUKAH PENTAKSIRAN TINGKATAN 3 (PT3) DIKEKALKAN?
Jam 9 pagi,
saya keluar pejabat unrtuk ke SMK Jalan 4, Bandar Baru Bangi melihat
reaksi anak murid dan ibu bapa menerima keputusan peperiksaan PT3. Saya
ke sekolah ini kerana inilah sekolah terbaik di daerah ini yang setiap
tahun ratusan pelajarnya mendapat 8A ke atas.
Namun, tahun ini
hanya 8 orang pelajar sahaja dari sekolah ini yang mendapat semua A.
Pencapaian sekolah ini adalah lebih kurang sama sahaja dengan pencapaian
dari sekolah berasrama penuh yang lain. Maklumat awal yang saya
perolehi menunjukkan hanya 11 orang dari Tunku Kursiah yang mendapat
semua A, 10 dari Faris Petra, seorang dari SDAR, seorang dari Sakti, 21
orang dari Mozac dan 26 orang dari Tun Fatimah.
Saya bertanyakan ibu bapa dan para guru tentang tentang pelaksanaan
PT3. Satu persamaan pandangan mereka ialah PT3 adalah peperiksaan yang
paling bercelaru, kelam kabut dan kucar kacir.
Kata mereka,
inilah peperiksaan yang format peperiksaannya bersifat ad hoc, diumumkan
lewat, anak-anak dijadikan bahan uji kaji, calon-calon dan para guru
tidak diberitahu langsung tentang peperiksaan ini pada peringkat awalnya
dan banyak lagi.
Ibu bapa tidak berpuas hati dengan pentaksiran
mengikut sekolah ini kerana kertas jawapan diperiksa oleh guru yang sama
mengajar di sekolah, tidak oleh guru dari sekolah atau negeri lain.
Mereka mempersoalkan tentang keadilan untuk memohon masuk ke sekolah
berasrama penuh dan lainnya.
Betul, soalan PT3 adalah berbentuk
subjektif yang memerlukan pelajar berfikir. Betul, soalan PT3 adalah
bersifat Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Tetapi pertanyaannya,
apakah dengan KBAT ini, ia dapat membantu kita dalam menaikkan taraf
pendidikan negara?
Melihat kepada kecelaruannya, saya tidak
fikir ia dapat membantu meningkatkan sistem pendidikan negara kita.
Jadi, apa tindakan seterusnya? Buatlah survei secara jujur dari
kalangan guru dan ibu bapa, dan ambillah cadangan dan pandangan mereka.
Itulah yang terbaiknya.