Semua orang tahu, ramai warganegara Bangladesh jadi penduduk di Malaysia. Mereka datang ke sini hanya mahu mencari makan. Tapi, mungkin ramai yang tidak tahu kehidupan di Bangladesh di sana bagaimana. Hari ini, seorang pengguna Facebook (Mufarwa Farid) menceritakan pengalamanan beliau berbual dengan seorang Bangladesh yang telah menetap di Malaysia selama 10 tahun
Ketika saya menaiki kereta api tadi, saya duduk di sebelah seorang warganegara Bangladesh. Dia duduk sambil menyanyi-nyanyi, dan saya pula sedang membaca buku. Disebabkan terasa terganggu, mood saya nak membaca itu sudah pudar. Saya pun memandang ke tingkap, dalam hati, berasa geram dengan dia.
Tetapi setelah dua stesen, tiba-tiba saya rasa ingin berbual dengan dia. Mungkin dia pun bosan, sebab itu menyanyi sambil menari-nari di sebelah saya. Saya memberi salam, lalu kami pun berkenalan. Namanya Muhammad Mubarak Khan.
“Semua nama orang Bangladesh mesti ada Muhammad.” Katanya.
“Sama macam Malaysia. Muhammad atau Ahmad.” Kata saya lalu saya memperkenalkan diri saya dengan nama penuh.
Dia sudah berada di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu. Berkahwin dengan orang Malaysia yang berbangsa India dan bekas penganut Hindu.
“Keluarga isteri tak marah ke dia convert masuk Islam?”
“Mula-mula marah la. Tapi sekarang sudah ok. Saya suruh dia bagi semua gaji pada mak ayah dia. Nasib baik semua adik beradik dia perempuan. Kalau dia ada abang ka, adik lelaki ka, isteri saya kahwin dengan kepala saya sahaja. Badan sudah kena kerat.” Dia berseloroh.
Kami meneruskan perjalanan kami dengan berbicara tentang politik di Bangladesh.
“Bangladesh dahulunya sebuah negara bawah Pakistan. Tetapi disebabkan Pakistan itu sangat jauh, malah dipisahkan oleh negara Nepal, pembangunan Bangladesh sangat-sangat mundur kerana pemimpinnya lebih mementingkan Pakistan. Sedangkan kami sangat dekat dengan negara India. Tetapi disebabkan masa dahulu, Pakistan berpisah dengan India kerana Pakistan ingin menubuhkan negara Islam, Pakistan mengambil Bangladesh juga sebagai salah sebuah negeri mereka.
Kemudian Bangladesh pula yang berpisah dengan Pakistan.”
Saya tekun mendengar sejarah negaranya. Saya sebenarnya sudah tahu sejarahnya kerana saya mempunyai kawan baik yang bernama Ahmad Shauky dari Bangladesh di UIA.
“Tapi sekarang, Bangladesh masih mundur. Kalau dekat Malaysia ha, aman sangat. Semua bersih. Semua orang di sini semuanya baik-baik. Rezeki mudah nak cari. Yang penting kena rajin. Kalau malas ha, baik mati aje. Rasuah kat sana ha, sangat banyak. Kalau nak hidup, mau dapat projek bangun bangunan ke apa ha, kena rasuah banyak orang. Sebab itu tak ada orang nak buat bangunan kat sana.”
Saya bertanya pula tentang agama di Bangladesh.
“Bangladesh, 98% orang Islam. Yang lain-lain ada Hindu. Di sana, kami wajib belajar bahasa Arab. Kami wajib belajar Al-Quran. Siapa yang tak belajar Al-Quran, masuk penjara. Siapa yang tak puasa, kalau kena tangkap, kena masuk penjara 3 bulan. Dan penjara akan bagi makan rumput sahaja. Pak cik saya ha, tadak puasa, dia kena makan rumput 6 hari seminggu.Tak ada nasik. Semuanya makan roti dengan rumput saja.”
“Tapi ha, mintak maaf ya saya cakap, walaupun dekat Malaysia banyak aman, banyak cantik, banyak baik, tapi Islam dekat sini tadak kuat sangat. Kalu di sana ha, nampak perempuan tak tutup aurat, boleh kena denda RM10,000. Kalau ada orang pakai tatu, polis akan tangkap, dan akan letak iron panas sampai tatu tu hilang.
Dekat Malaysia ha, orang perempuan semua ramai tadak tudung. Ada yang nampak dada. Berani sangat. Kalau di Bangladesh, masa kecik-kecik, kami takut dengan polis. Tapi bila sudah besar, kami tak mahu buka aurat sebab kami takutkan Allah.”
Saya fokus dan otak saya bermacam-macam yang difikirkan.
“Itulah kurangnya di Malaysia. Tetapi masjid semua cantik. Kalau dekat sana ha, ada banyak masjid tak ada dinding. Tapi orang semua sembahyang di masjid. Tetapi apa pun, Malaysia memang bagus.” Sambungnya sambil memberikan isyarat bagus.
Lalu kami pun berbual lagi tentang pembangunan Bangladesh serta berbual tentang keluarganya. Sesampainya di Seremban, dia sangat bersedih kerana terpaksa berpisah dengan saya. Katanya, “Abang orang sangat baik. Ramai orang selalu hina orang Bangladesh. Kami sini mau cari makan sahaja. Tadak kacau orang.”
Lalu dia pun mengambil nombor telefon saya, dan perpisahan kami diakhiri dengan lambaian.