Difahamkan, Sam menerima sebuah telefon pintar daripada pelakon ‘Gol dan Gincu’ itu. Berpeluang bertemu dengan pelakon ‘Adnan Sempit’ ini , GUA cuba mendapatkan komen lanjut Sam berhubung perkara ini.
“Mana dengar cerita ini? Tak adalah, mana ada Sam dapat apa-apa. Kalau telefon bimbit, memang sebelum ini dah banyak orang hadiahkan Sam benda itu termasuklah daripada Digi,” ujar Sam tersipu malu ketika ditemui pada Majlis Mesra Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Seniman Malaysia di Saloma Bistro pada petang Isnin.
Menyentuh mengenai hubungan rapatnya dengan Fazura, Sam beritahu hubungannya dengan Faz hanya sekadar kawan. Menurut Bintang Paling Popular 2012/2013 ini lagi, Faz seorang rakan yang sangat sempoi dan dia selesa bergaul dengan pelakon filem ‘Pisau Cukur’ itu.
“Apa yang boleh Sam katakan, hubungan kami belum sampai ke tahap mengenali hati budi. Sam kenal dia sebagai rakan sekerja dan hubungan kami berdua sangat profesional. Sam selesa berkawan dengan dia kerana dia seorang yang sangat sempoi. Mungkin kerana dia selebriti, sebab itu orang nampak dan lebih ambil tahu tentang hubungan kami berdua,” ujar Sam sambil memberitahu sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujangnya.
“Kita tak boleh nak tolak maut, begitu juga soal jodoh. Dengan sesiapa saja tertulis jodoh Sam, Sam tak boleh nak tolak. Dari tahun lepas lagi Sam dah fikir pasal kahwin, tapi Sam percaya Allah sudah tentukan jodoh masing-masing. Masa itu akan tiba juga dan harap semua dapat doakan Sam agar bertemu jodoh dengan cepat.”
Menyentuh mengenai karier seninya, Sam kini kembali bergiat aktif dalam menerima tawaran berlakon selepas mengambil keputusan untuk berehat sejak Julai lalu. Pada 10 September ini, Sam akan berangkat ke Bangkok, Thailand untuk menjalani penggambaran filem ‘Adnan Sempit 4’.