HANYA dengan sekali lafaz tepat jam 12.06 tengahari, Hanifah Md Hanafiah, 26, atau lebih dikenali sebagai Black sah bergelar suami kepada Naquia Yasirah Binti Mohammad Khairi, 28, atau Chira Khairi di Zebra Square, Kampung Pandan.
Black & Chira telah diijabkabulkan oleh bapa Chira sendiri dengan mas kahwin berjumlah RM80 dan wang hantaran berjumlah RM12 ribu disaksikan oleh Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Bandaraya.
Majlis pernikahan ini menyaksikan pihak lelaki memberikan 7 dulang hantaran berupa sepasang telekung, beg tangan Chanel, minyak wangi Bvlgari, sebentuk cincin, iPad Mini, sepersalinan baju serta kasut Charles & Keith, dan juga set kosmetik Kanebo.
Untuk pengetahuan, majlis pernikahan kedua mempelai ini telah dihadiri oleh pihak keluarga dan juga rakan-rakan terdekat kedua buah keluarga.
Majlis persandingan Black dan Chira akan diadakan di dewan komuniti Bangsar pada waktu malam berkonsepkan ‘english contemporary’ untuk sebelah perempuan. Sebelah lelaki pula akan diadakan pada 14 September bertempat di Zebra Square, Kampung Pandan.
Bagaimana pun, Black akan mengadakan majlis resepsi mereka untuk kali ketiga di padang bola PPRT Pantai Dalam pada hari Ahad, 15 September ini bagi meraikan hari bahagianya bersama para peminat di tempat dia membesar.