Jika anda menyaksikan siaran langsung malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012) pada Ahad, pasti anda dapat melihat aksi Nabila Huda memeluk Fizz Fairuz dan Tomok ketika menerima trofi kemenangannya untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular.
Tindakan Nabila itu sudah tentu mengundang pelbagai reaksi. Ada yang tidak kisah, ada juga yang berpendapat dia tidak sepatutnya berbuat begitu.
Mengulas tentang aksi pelukannya itu, Nabila yang ditemui selepas acara berakhir memberitahu pelukannya itu berlaku secara spontan dan ia adalah pelukan sahabat.
“Sebaik sahaja nama saya diumumkan sebagai pemenang, saya sebenar peluk semua orang sebelum naik ke pentas. Itu aksi spontan saya. Saya peluk Fizz Fairuz dan Tomok kerana mereka sahabat saya. Saya mengenali mereka sudah lama dan mereka tahu perjalanan kerjaya saya bagaimana. Kalau orang hendak mengata tindakan saya itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya tidak kisah pun kerana saya tidak boleh tutup mulut orang. Saya tak nak hipokrit. Ini adalah diri saya,” ulas Nabila tegas.