Memaklumkan bahawa keputusan memilih artis terletak pada peserta, Ahmad Izham memberitahu peranan pihak TV3 sebagai penganjur adalah untuk memberi pendapat dari segi penilaian teknikal, selain apa yang perlu diperbaiki untuk mendapat persembahan terbaik.
"Kami akur pada pilihan peserta. Pihak Yuna membuat keputusan untuk memilih Aizat. Tetapi perkara itu telah disalah tafsir, dikatakan pihak TV3 yang gugurkan (Kak Uji).
"Itu keputusan yang diambil bersama. Dalam penilaian semasa sesi latihan, saya tak nafikan kami ada beri cadangan. Kami ingin membuat yang terbaik untuk semua dari artis, peserta dan penonton AJL. Apa yang penting, kami mengambil berat keadaan kesihatan Kak Uji."
Ahmad Izham turut menjelaskan berita pengguguran Uji disampaikan kepada penyanyi veteran tersebut di bilik perbincangan yang hanya dihadiri orang-orang yang berkenaan sahaja.
Pengarah muzik AJL 27, Dato' Ramli MS bila ditanyakan komennya, menafikan Uji telah disingkirkan sepertimana yang telah diperkatakan di laporan-laporan media dan blog.
"Pihak media tidak patut ambil kesempatan, guna ayat disingkirkan tanpa usul periksa. Dia bukan disingkirkan tetapi digantikan."
Ramli MS memberitahu sebagai pengarah muzik AJL 27 dia perlu bertanggungjawab atas soal bunyi. Ketika sesi latihan, diakuinya ada masalah teknikal dari segi level bunyi suara Uji.
"Saya faham dia sakit, baru keluar hospital. Bunyi yang keluar itu rasanya yang paling kuat (dari Uji). Memang tidak cukup. Selepas 'rehearsal', pengurusan tanya saya apa 'consequences', jadi saya beritahu 1, 2, 3, 4."
Pihak Yuna yang diwakili pengurusnya, Wawa memaklumkan bahawa perkara ini sudah 'settle', dimana dia dan pihak TV3 telah berjumpa dengan Uji dan meminta maaf.
Tambah Wawa, disebabkan masalah vokal Uji, mereka bimbang dia tidak dapat membuat persembahan yang terbaik pada malam AJL 27. Namun pada mulanya, Yuna tidak mahu menggantikan Uji kerana percaya beliau boleh 'deliver'.
Tetapi setelah melihat prestasi Uji selepas beberapa sesi latihan dan didapati tidak menepati piawaian serta mendapat maklum balas dari mereka yang lebih arif dalam muzik, mereka membuat kata putus untuk mencari pengganti.
"Saya bagi pihak Yuna ingin meminta maaf jika Kak Uji tersinggung. Tak pernah terlintas pun nak memalukan beliau," ujar Wawa.
Selain memohon tidak dipanjangkan lagi isu ini, Wawa sempat menjelaskan apa yang telah digembar-gemburkan sesetengah pihak tidak pernah wujud sama sekali, malah pihak pengurusan Yuna Records tidak pernah menyalahkan pihak TV3.