PENYAMPAI radio Sinar FM, Salih Yaacob cukup sinonim dengan watak Mak Neng. Watak itu mula digunakan Salih ketika mengendalikan slot Sinar Pagi di Sinar FM kemudian lebih popular apabila diangkat ke kaca TV melalui program talkshow, Salih Yaacob Show, I Follow…di Astro Warna pada 2011.
Dalam satu segmen, Salih memberi nasihat berdasarkan surat peminat dalam pelbagai watak seperti Mak Neng, Abang Jem dan Wak Jawa tetapi watak Mak Neng paling dikenali.
Ramai pendengar dan peminat program itu terutama golongan muda tertanya-tanya siapa gerangan Mak Neng. Adakah sosok Mak Neng itu sememangnya wujud ataupun hanya rekaan semata-mata? Mungkinkah ia ada kaitan dengan seniwati filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an, Neng Yatimah yang dikenali sebagai Mak Neng?
Pertemuan Salih dengan Neng Yatimah, 88, di rumah anak saudaranya di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 17 Januari lalu bukan saja menjadi detik bersejarah dan cukup mengharukan malah merungkai persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya peminatnya.
via Hmetro