Seperti biasa setiap kali Anugerah Juara Lagu melabuhkan tirainya dengan menobatkan lagu terbaik yang dipilih oleh juri profesional dan bukannya berdasarkan populariti, akan wujud pertikaian terhadap sang juara.
Perkara yang sama turut berlaku terhadap lagu ciptaan dan nyanyian Yunalis Zarai, Terukir Di Bintang yang telah diangkat sebagai juara lagu AJL 27 yang telah pun berlangsung dengan jayanya di Stadium Putra, Bukit Jalil, malam tadi.
Menariknya, sebelum Terukir Di Bintang dinobatkan juara lagu, telah wujud kontroversi berhubung isu penyanyi yang bakal menggantikan tempat Yunalis Zarai atau Yuna setelah penyanyi, pemuzik serta komposer berbakat itu tidak dapat beraksi di pentas AJL 27 kerana berada di Amerika Syarikat.
Setelah Yuna memilih Uji Rashid untuk menbawakan lagu tersebut, tiba-tiba, tempat tersebut telah digantikan oleh Aizat Amdan dan menurut pihak Yuna, ianya berlaku di luar bidang kuasa mereka.
Maka, tidak hairanlah bila ada segelintir pihak yang melabel kemenangan ini sebagai 'anugerah membalas budi'. Namun, pihak juri yang diketuai komposer Azmeer mempunyai jawapan bagi dakwaan ini.
"Penjurian bagi Anugerah Juara Lagu seperti biasa telah dibuat lebih awal. Ertinya sebarang perubahan atau isu yang dikaitkan dengan finalis ketika persembahan pada malam final AJL tidak akan mengubah nilai markah yang telah diberikan terlebih dahulu.
"Tiada isu anugerah balas budi atau disebabkan kontroversi yang berlaku terhadap lagu Terukir Di Bintang membuatkan kami memilihnya sebagai juara malam ini. Kami sesama juri juga tidak pernah berbincang mengenai markah dan sebagainya.
"Saya sendiri melihat lagu ini mempunyai susunan muzik yang tersendiri. Digarap dalam mood yang sangat segar dan berjaya memikat hati juri-juri lain juga. Untuk markah persembahan masih ada tetapi ia cuma menyumbang peratusan yang kecil dalam jumlah markah keseluruhan.
"Jadi siapa pun yang menyanyikan bukanlah penentu kepada juara AJL. Apatah lagi kontroversi yang langsung tidak ada kena mengena dengan penjurian,"jawab Azmeer yang bertindak sebagai ketua juri bagi AJL27.
Tempias isu melibatkan penyanyi gantian untuk Yuna turut dirasakan Aizat yang akhirnya dipilih menggalas tugas mempersembahkan Terukir Di Bintang menggantikan Uji Rashid pada saat-saat akhir.
Bagi Aizat, pihak yang menguruskan hal ini perlu lebih peka dan menanganinya dengan lebih profesional apatah lagi ia melibatkan penyanyi veteran seperti Uji Rashid.
"Sepatutnya pihak yang menguruskan hal berkaitan persembahan harus lebih arif lagi dalam menangani hal ini. Pasti ada cara paling baik untuk menjelaskan kepada penyanyi veteran tersebut tentang situasi dan keadaan sebenar.
"Apa yang terjadi kini seolah-olah ianya tidak ditangani dengan wajar. Saya juga terasa bersalah dan faham apa yang dirasai kak Uji Rashid atas apa yang telah terjadi,"ulas Aizat mengenai isunya menggantikan tempat Uji Rashid di pentas AJL 27.