Penyanyi, Azza (Elite) mendedahkan watak muslimah yang dibawakannya dalam drama Mujahid pada tahun lalu telah membuka hatinya untuk terus bertudung.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 35, berkata, dia bersyukur kerana mendapat rahmat berkenaan ketika sedang mencari rezeki dalam dunia lakonan yang menjadi punca rezekinya selama ini.
“Itulah, orang kata, rahmat yang Allah berikan kepada setiap manusia berbeza-beza dan apabila sudah sampai waktunya, apa salahnya kita berhijrah terus.
“Sebenarnya, sebelum Mujahid, saya dah mula berselendang sepanjang penggambaran drama Kiah Pekasam bersama Rozita Che Wan di Jepun, tahun lalu.
“Alhamdulillah, menerusi bidang lakonan yang menjadi punca rezeki utama juga menyedarkan saya kepada sebuah penghijrahan yang indah dalam hidup ini,” katanya yang dipetik dari Mstar, di sini, hari ini.
Tambah Azza, dia bersyukur kerana keluarga dan suaminya, Azlan Zulaily memberi sokongan terhadap perubahan penampilan barunya itu.
“Kalau nak tahu, sebelum ini hanya saya seorang dalam keluarga yang tidak bertudung dan sedikit rasa janggal lebih-lebih lagi ketika seluruh keluarga berkumpul untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Pulau Pinang pada pertengahan Disember lalu.
“Kemudian saya terfikir, kasihan pula pada ibu apabila anaknya seorang ini sahaja yang tidak bertudung dalam keluarga,” katanya.
Sementara itu, Azza berkata, bertudung litup juga tidak menghalangnya untuk berlakon dan menyanyi seperti biasa.
Malah dia bersyukur apabila perubahan imej baru itu tidak mengganggu karier seninya.