Subsidi gula dikurangkan sebanyak 20 sen sekilogram bermula esok, demikian diumumkan Datuk Seri Najib Razak.
Ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat di sini, Perdana Menteri berkata, pengurangan subsidi itu mendapat sokongan daripada persatuan pengguna dan pengamal kesihatan. “Bagaimanapun kerajaan masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kilogram yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM278 juta,” katanya ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” hari ini.
Perdana Menteri berkata, keputusan itu turut mengambil kira jumlah 2.6 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetis ketika ini.
Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan mengalami kenaikan harga sebanyak empat kali sejak 1 Januari 2010 iaitu sebanyak RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekilogram (4 Disember 2010) dan kali terakhir pada 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit RM2.30 sekilogram sehingga kini.