Nampaknya rezeki Shuib dan Sarah Raisuddin semakin bertambah. Terbaru Sarah dilaporkan telah mengandung buat kali kedua dan perkara ini telah disahkan oleh suaminya sendiri, Shuib yang juga pelawak kumpulan Sepahtu.
Menurut Shuib, dia merasa begitu teruja atas kehamilan kedua isterinya dan tidak menyangka isterinya bakal hamil dalam jangka waktu yang singkat setelah melahirkan anak sulung mereka Disember tahun lalu.
Selain itu, pelawak ini turut melahirkan rasa keinginannya untuk menimang cahaya mata kedua terlalu membuak-buak kerana rindu ingin bermain dengan bayi kecil.
“Sebelum ini, saya ada meluahkan rasa pada Sarah yang saya rindu nak bermain dengan bayi kecil memandangkan anak kami pun sudah sedikit dewasa dan sudah mula pandai berjalan dan Sarah sebenarnya pun punya rasa yang sama,” ujar Shuib kepada pihak Murai.
Doktor telah mengesahkan kandungan Sarah masih terlalu awal, iaitu baru sahaja berusia dua hingga tiga minggu. Sebelum berjumpa doktor, Sarah dan Shuib turut mengesan kehamilan tersebut menerusi alat uji kehamilan.
Berikutan berita kehamilan ini, Shuib menganggap ia sebagai hadiah harijadi yang cukup bermakna buat dirinya dan isteri, yang masing-masing jatuh pada 12 dan 15 September lalu.
Untuk makluman, Shuib dan Sarah telah bernikah pada 26 Februari 2011 dan hasil pernikahan tersebut pasangan ini telah menerima cahaya mata pertama, Uwais Alqarni pada 4 Disember 2012.