Persembahan Shila Amzah di pertandingan Asian Wave Shanghai menerusi lagu Forever Love nyanyian asal Lee Hom telah berjaya menarik perhatian juri dan penonton yang mengikuti program ini. Malah, salah seorang juri pertandingan ini iaitu Eric Moo telah melabelkan Shila sebagai seorang Superstar berjaya membuatkan penonton rasa meremang dengan nyanyiannya itu.
Lebih menarik lagi, juri yang berasal dari Malaysia tetapi menetap di China itu berjanji akan menunjukkan persembahan Shila kepada Lee Hom.
"Saya berjanji akan mencari jalan agar Lee Hom mendengar sendiri Forever Love versi Shila Amzah. Pada malam ini, saya telah mendengar sebuah nyanyian dari Shila yang meremangkan bulu roma saya. Bagi saya, Shila adalah next Superstar," ujar Eric.
Menyahut pandangan Eric, Shila dengan rendah hati, tidak menyangka pujian sebegini akan terpancul dari mulut Eric yang berpengalaman besar dalam industri muzik China.
"Ya, saya tidak terfikir Eric boleh mengkategorikan saya sebegitu. Masih jauh lagi," ujar Shila.
Bertegas dengan pandangannya itu, Eric memberitahu bahawa sememangnya Shila layak memegang gelaran Superstar.
"Saya tidak kira. Saya tetap merasakan awak adalah Superstar Shila. Sekarang ini awak sudah pun menjadi Superstar," tegas Eric yang juga bergelar penyanyi hebat di China.