“Saya kini lebih tenang dan sudah insaf.” Demikian luah penyanyi kumpulan Spring, Wan Aminuddin Wan Ismail, yang lebih dikenali sebagai Ameng ketika ditanya berhubung hukuman diterimanya ketika di penjara.
Menurutnya, kehidupan di dalam penjara amat berbeza dan tidak seperti dahulu kerana banyak ilmu agama dapat dipelajari di sana sepanjang beliau menjalani hukuman penjara setahun empat bulan.
“Sejak dipindahkan ke Penjara Kluang, saya kini lebih tenang dan sudah insaf. Saya lihat konsep yang diberikan kepada penghuni di dalam penjara ini lebih kepada konsep sekolah pondok yang mana setiap pagi kami mengerjakan solat subuh secara berjemaah, menghadiri kelas agama, dan semuanya dijalankan secara berkumpulan.
“Malah, daripada yang tidak tahu mengaji akan menjadi pandai mengaji selepas masuk ke sini. Begitulah kehidupan saya sehari-hari di dalam Penjara Kluang ini,” katanya.