JURULATIH Poland, Franciszek Smuda mengumumkan untuk meletakkan jawatan selepas pasukan bimbingannya itu gagal mara ke suku akhir Euro 2012.
Poland tewas 0-1 kepada Republik Czech hasil jaringan tunggal Petr Jiracek pada minit ke-72, sekali gus meletakkan Czech selaku juara kumpulan dengan enam mata.
Greece muncul naib juara kumpulan dengan empat mata diikuti Russia (4) dan Poland (2).
Poland selaku tuan rumah bersama sebenarnya masih berpeluang layak ke suku akhir jika mereka berjaya menewaskan Czech pada aksi terakhir itu selepas berjaya mengikat Greece dan Russia pada dua aksi terdahulu.
“Inilah penamat kepada pengembaraan saya. Kontrak saya bakal berakhir pada penghujung saingan Euro 2012 ini dan terima kasih kepada semua.
“Sepanjang dua setengah tahun, kami berjaya membentuk sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran pada masa akan datang.
Mereka belum cukup sempurna, tidak sebagus yang diharap tetapi inilah bola sepak,” kata Smuda.