Perkahwinan rahsia vokalis Butterfly, Adda bersama Ridzuan Mohammad mendapat perhatian ramai selepas adik kepada gitaris Kristal, Rudy ini mengumumkannya secara eksklusif.
Di samping menerima pelbagai ucapan tahniah dari peminatnya, status suami Adda telah dipertikaikan sehingga ada segelintir pihak mendakwa sama ada Adda berkahwin dengan duda atau pun suami orang.
Padahal, melalui laporan akhbar Mingguan Malaysia, Adda sedari awal lagi sudah pun mengetahui suaminya itu adalah suami orang dan dia ada mempunyai madu tatkala sah dinikahkan.
Dalam masa yang sama, Adda ada memberitahu enggan mengulas lanjut mengenai status suaminya itu lagi. Malah, Adda tidak mahu apa yang diterangkan itu menimbulkan spekulasi yang lain.
Bagaimanapun, penyanyi yang pernah menjadi kekasih hati Mamat Sepah ini mengakui tiada niat untuk mematahkan hati orang lain apatah lagi meretakkan kebahagian rumahtangga orang lain.
Atas dasar itu jugalah Adda telah membuat keputusan untuk kunci mulutnya dan menegaskan kepada semua pihak agar tidak menganggu bahtera perkahwinannya itu selain menguris hatinya yang dalam kesedihan.
Sementara itu, suami kepada Adda iaitu Ridzuan turut mengakui bahawa dirinya bukanlah seorang duda seperti yang dibahaskan umum.
Malah, Ridzuan menjelaskan berasa tertekan sebaik saja membaca gosip yang mengaitkan dirinya bersama isterinya, Adda.
Tanpa berselindung, bapa kepada tiga orang anak ini mengakui sudah mempunyai isteri sebelum bergelar suami kepada Adda.
Apa sekalipun, lelaki yang berusia 40 tahun ini mahu agar namanya itu bersih apabila dia menjelaskan mengenai perkahwinannya bersama Adda.