Objek yang dikhuatiri sebagai bahan letupan di landasan antara laluan Sungkai-Slim River di
kilometer (km) 259 pagi ini rupa-rupanya hanya beberapa botol kosong yang dilipat dengan sekeping tikar.Ketua Polis Daerah Tapah Supt, Roslan Bek Ahmad yang menjelaskan perkara itu berkata, polis menerima panggilan mengenai kewujudan objek berkenaan pada pukul 1.45 pagi tadi.
“Unit Pemusnah Bom daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak digerakkan untuk membuat pemeriksaan di landasan sejauh 76 km antara Tanjung Malim dan Tapah Road.
“Polis kemudiannya menemui satu bonggol berhampiran sebuah jambatan di landasan di kM 259.25 berhampiran Slim River pada pukul 12.05 tengah hari,” katanya.
Menurutnya, bonggol itu kemudian diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom tetapi siasatan lanjut akhirnya mendapati tiada bom ditemui di situ.
Sebaliknya, kata beliau, hanya sekeping tikar yang dilipat mengandungi botol-botol kosong ditanam berhampiran jambatan berkenaan.
Justeru, katanya, pihaknya sedang mengesan individu yang membuat panggilan mengenai objek itu.