Kegiatan dua kanak-kanak lelaki berusia tujuh dan lapan tahun yang mencuri di 26 buah rumah penduduk di sekitar presint 8 di sini terbongkar apabila mereka sendiri memberitahu rakan-rakan mengenai kegiatan itu.
Ketua Polis Putrajaya, Superintenden Abdul Razak Abd Majid berkata seorang rakanmereka terkejut apabila diberitahu barang-barang rumahnya sendiri juga telah dicuri.
Kanak-kanak itu memasuki rumah berkenaan dengan menggunakan kunci yang ditinggalkan di luar rumah.
“Kedua-dua kanak-kanak lelaki tersebut bukan sahaja memberitahu malah menunjukkan barang-barang yang mereka telah curi.
Berang dengan keadaan itu seorang rakan sekolah mereka memberitahu ayahnya. “Terkejut mendengar perkara tersebut, ayah berkenaan segera membuat laporan kepada pihak polis dan kedua-dua budak itu ditangkap secara berasingan pada 5.40petang dan 6.30 petang di rumah masing-masing pada 28 Oktober lalu,” kata AbdulRazak kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini. Abdul Razak berkata setelah disoal siasat pihak polis, kedua-dua mereka mengakui telah menjalankan kegiatan mencuri itu sejak enam bulan lalu.
Beliau berkata dua kanak-kanak itu melakukan perbuatan mencuri dengan mengambil kunci yang diletakkan di luar rumah, biasanya di dalam kasut, apabila tuan rumah keluar bekerja pada waktu pagi.
Menurutnya, kanak-kanak itu sepatutnya pergi ke sekolah pada waktu tersebut,sebaliknya ponteng bagi melakukan perkara itu.
“Mereka mengambil duit dan barang-barang yang terdapat dalam rumah yang dibuka dengan menggunakan kunci yang ditemui.
Bagaimanapun ini tidak melibatkan barang-barang lain yang berharga,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak itu menggunakan wang yang dicuri untuk membeli-belah di Alamanda di sini.