Aku Bukan Tomboi filem terbaru arahan Syamsul Yusof yang kini sedang ditayangkan di pawagam
seluruh negara mencatatkan kutipan tiket paling rendah iaitu hanya RM2 juta berbanding enam filem lain yang pernah diarahkannya sebelum ini.Menurut anak pengarah dan penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam ini, sebelum ini filem-filem arahannya mencatatkan kutipan tiket RM4 juta ke atas termasuklah KL Gangster yang mengaut kutipan tiket RM11.7 juta sewaktu tayangannya baru-baru ini.
“Ini adalah filem arahan saya yang paling kurang mendapat sambutan penonton. Biasanya filem-filem arahan saya mencatat kutipan lebih RM4 juta, contohnya filem pertama saya, KL Drift mendapat kutipan tiket RM4.5 juta dan Khurafat sebanyak RM8.1 juta.
“Bagi saya, ini adalah lumrah kerana tiada siapa pun boleh memberi jaminan orang dalam industri filem yang hebat mana sekali pun boleh mengekalkan prestasi kutipan filem-filem mereka. Kurangnya sambutan Aku Bukan Tomboi bukan kerana pelakon dan sebagainya.
“Tetapi ia mungkin kerana eksperimen saya dalam menghasilkan filem komedi seperti ini sedangkan filem saya yang meletop di pawagam kebanyakannya adalah filem-filem aksi. Apa pun saya tidak serik dengan kegagalan ini,”