Rasa-rasa agak lama Pierre Andre nie tak mengarah filem seram yang pasti meletup seperti filem-filem beliau sebelum nie. Kali nie Pierre Andre kembali dengan filem seram di bawah
arahannya yang bertajuk Al-Hijab. Tengok video trailer macam best jer filem nie dan kesan grafik yang pasti akan memuaskan hati penonton. Skrip asal filem ini juga dihasilkan oleh Pierre Andre sendiri dan juga memegang watak utama bersama pelakon wanita yang cun iaitu Fathia (yang berlakon dalam Nasi Lemak 2.0). Nantikan filem ini pada 6 Oktober 2011 di pawagam berhampiran anda!
Sinopsis:
Rafael merupakan seorang pelakon yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Suatu hari dia ditawarkan watak utama untuk membintangi sebuah filem seram. Dia yang terkejut dengan tawaran tersebut sangat teruja dan berusaha untuk menjiwai peranannya sebaik mungkin. Malangnya Rafael tidak berjaya memperolehi perasaan takut yang dapat memuaskan hatinya. Puas dia berkunjung ke tempat-tempat yang dikatakan berhantu tetapi tidak pernah melihat kelibat makhluk itu. Teman wanita Rafael, Qiss yang pelik dengan Rafael itu mengadu perkara tersebut kepada ibunya. Ibu Qiss kemudiannya memberitahu Rafael mengenai apa itu hijab. Rafael berpeluang untuk melihat makhlus halus jika hijabnya dibuka.
Namun, hanya orang tertentu saja mampu membuka hijab tersebut. Rafael yang semakin buntu mencari seseorang yang boleh membuka hijabnya akhirnya menerima mesej aneh yang mengarahkan dia untuk pergi ke suatu tempat. Hanya di tempat tersebut hijabnya akan dapat dibuka. Sejurus sampai di tempat yang dikatakan, Rafael disambut oleh seorang makcik tua bersama anak perempuannya. Rafael hairan bagaimana makcik tua itu mengetahui hajatnya untuk membuka hijabnya. Rafael dibawa ke suatu tempat di ceruk hutan. Di situ makcik tua tersebut mula membuka hijab Rafael. Dari pandangan yang kabur, perlahan demi perlahan akhirnya Rafael dapat melihat sesuatu yang menggerunkan.
Dia berasa cukup gembira berbaur takut. Rafael meminta masa sehari untuk dia menggunakan ‘kelebihan’ yang ada pada dirinya itu untuk tujuan menjiwai watak lakonannya. Pulang kembali ke rumahnya, Rafael tidak menyedari ada ‘sesuatu’ turut menumpangnya pulang. Mula berasa tidak selesa, Rafael cuba untuk tidur namun gagal. Ada saja benda yang seperti mengganggunya. Setelah hampir 24 jam hijabnya dibuka, Rafael kembali ke rumah makcik tua tersebut untuk menutup kembali hijabnya. Berjayakah hijab Rafael ditutup semula atau dia terpaksa meneruskan hidupnya dengan ‘anugerah’ itu?