SETELAH selesai sesi uji bakat pemilihan Ustazah Pilihan di seluruh Malaysia, Astro Oasis memperkenalkan pula Mudirah atau pengetua dan dua Mursyidah atau tenaga pengajar.
KANAN:PENGURUS Saluran Astro Oasis, Izelan Basar (tengah) bergambar bersama tenaga pengajar program Ustazah Pilihan |
Tiga peneraju utama itu bakal berperanan sebagai pembimbing dan penasihat dalam misi menyerlahkan ikon muslimah berpotensi.
ERA nak datang rumah anda : KLIK SINI
Menang RM 1000 dan muncul dalam klip video : KLIK SINI
ERA nak datang rumah anda : KLIK SINI
Menang RM 1000 dan muncul dalam klip video : KLIK SINI
Ustazah Pilihan yang bakal memulakan siaran di Astro Oasis (saluran 106) pada 1 Oktober ini dipimpin oleh Dr. Robiah K Hamzah sebagai Mudirah bersama dua orang Mursyidah iaitu Profesor Dr. Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiyah Hassan.
Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, tiga tenaga pengajar yang dipilih boleh dianggap sebagai lubuk emas untuk peserta Ustazah Pilihan menimba ilmu dan pengalaman.
“Para peserta diharap mampu mencedok segala ilmu yang disampaikan semaksimum mungkin sebagai bekalan mereka untuk berhadapan dengan masyarakat kelak,” katanya ketika ditemui selepas memperkenalkan Mudirah dan Mursyidah di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.
Katanya, Ustazah Pilihan masih lagi berpaksikan pencarian pendakwah unggul dengan memaparkan kepentingan memikul tanggungjawab sebagai seorang wanita Islam yang bukan sahaja berperanan sebagai seorang isteri atau ibu, malah memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang.
Ditanya bagaimana pemilihan peserta Ustazah Pilihan dibuat, kata Izelan, terdapat tiga fasa pemilihan iaitu menguji peserta melalui bacaan surah-surah dalam al-Quran, bertanya mengenai isu-isu berkaitan wanita dan semasa serta ujian mengikut keperibadian masing-masing.
“Fasa pertama, peserta bukan sahaja dilihat boleh membaca surah-surah yang diminta tetapi peserta juga perlu membaca mengikut bacaan dan tajwid yang betul serta bertaranum,” katanya yang memberitahu tidak memilih wanita berpandukan paras rupa tetapi lebih kepada kebolehan mereka melontarkan suara di khalayak dengan berani dan jelas.
Izelan juga menjawab pertanyaan media berhubung program Ustazah Pilihan yang boleh mencetuskan kontroversi kerana ia melibatkan wanita.
“Sebelum program bermula sudah banyak yang bertanya. Alhamdulillah sudah banyak sesi lampias otak yang dibuat. Program Ustazah Pilihan akan dibuat mengikut syariah. Ujian yang bakal peserta hadapi juga tidak akan melanggar batas-batas seorang wanita muslim.
“Sudah tentu cabaran untuk menghasilkan Ustazah Pilihan lebih berat berbanding Imam Muda, namun saya anggap ini cabaran yang harus kami hadapi seterusnya membuatkan program ini hebat di mata penonton,” katanya.
Mudirah Ustazah Pilihan turut berkongsi cabaran dalam memikul tugas sebagai pendidik. Menurut Dr. Robiah K. Hamzah, dia tidak menganggap cabaran untuk mendidik peserta Ustazah Pilihan dalam bentuk yang susah sebaliknya bermohon kepada Allah SWT agar program itu dapat melahirkan insan yang gemilang dan terbilang.
“Kalau takut dikritik memang semuanya tidak akan menjadi. Kena mohon pada Allah agar program ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Astro Oasis turut mengambil kesempatan memperkenalkan pengacara bagi program Ustazah Pilihan iaitu Siti Rohani Surani. Siti yang juga merupakan penyampai radio bagi saluran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) itu dipilih berdasarkan potensinya mengendalikan saluran IKIM dengan menarik.