Pada mulanya, ucapan beliau agak memalukan apabila guru besar sekolah tersebut memanggil beliau sebagai ‘Zuckerman’ dan ‘En. Z’.
Tertawa dengan panggilan tersebut, beliau kemudiannya menuju ke podium.
Dengan pakaian ‘trademark’ sendiri iaitu kemeja T, berseluar jeans dan kasut sukan Zuckerberg seterusnya memberi ucapan kepada pelajar sekolah tersebut.
“Saya sudah lupa pengalaman saya ketika majlis graduasi sekolah saya sendiri,” beliau memulakan ucapan dengan pengalaman sendiri ketika di sekolah.
Zuckerberg mengimbau salah seorang daripada guru beliau yang memakai penutup mata dan kelihatan seperti seorang lanun.
“Begitu juga dengan anda. Anda tidak mungkin akan ingat tentang hari ini dalam masa beberapa tahun dari sekarang, tetapi saya berharap anda seronok di sini,” kata beliau.
Zuckerberg menasihati pelajar-pelajar sekolah tersebut untuk membuang perkataan `tidak boleh’ daripada kamus hidup mereka, dan menonjolkan tiga perkara yang mampu membantu mereka untuk berjaya.
‘Banyak syarikat yang berjaya kini sebenarnya dibina atas dasar keazaman yang tinggi dan yakin terhadap diri sendiri,” jelas beliau.
“Semua perkara seperti ini sebenarnya amat sukar untuk dilakukan dan memerlukan banyak usaha.”
Zuckerberg juga menerangkan bahawa usaha yang beliau lakukan untuk menubuhkan Facebook sebenarnya adalah interpretasi media yang tidak benar.
“Salah satu daripada perkara yang saya sering fikirkan adalah masyarakat sering membuat anggapan yang salah. Terutamanya apabila anda menonton filem dan rancangan televisyen tentang seseorang yang berjaya hanya kerana membuat satu perubahan kecil.
“Seperti kes saya sendiri, ramai yang mengatakan bahawa Facebook ditubuhkan apabila seorang pelajar universiti mempunyai satu idea dan kemudiannya ia menjadi satu perniagaan secara tiba-tiba. Namun realitinya adalah sangat jauh dari apa yang diperkatakan.
“Ia bukan hanya kepintaran atau inspirasi, ianya memerlukan latihan yang mengambil masa bertahun-tahun dan usaha gigih.”
“Tiada jalan pintas,” kata Zuckerberg.
“Dalam hidup, perkara yang anda rasakan hebat, mengambil masa yang sangat lama dan usaha keras sebelum anda mampu mencapainya.”
Zuckerberg turut menasihati pelajar-pelajar tersebut untuk membina hubungan dengan orang yang boleh mereka percayai.
“Tiada orang yang mampu melakukan sesuatu hanya seorang diri…persahabatan adalah perkara yang membuatkan hidup anda lebih bermakna. Dan ianya juga membolehkan anda melakukan perkara yang tidak anda sangkakan,” kata beliau.
Cadangan terakhir beliau adalah “Lakukan apa yang anda suka. Segalanya akan menjadi lebih mudah jika anda lakukan apa yang anda gemar.”
Setelah lapan minit berucap diatas podium, Zuckerberg menutup ucapan beliau dengan kata-kata ini,” Saya tidak mahu membebel tentang banyak perkara, jadi, itulah tiga perkara yang ingin berkongsi dengan anda.”
“Tahniah atas kejayaan anda hari ini. Tahniah kerana akan ke sekolah menengah. Terima kasih kerana menjemput saya di sini, dan belajar rajin-rajin,” katanya.
Zuckerberg menjadi jutawan yang termuda pada tahun 2008, ketika berusia 25 tahun, dan pada tahun lalu – enam tahun sejak syarikat beliau dibuka – harta beliau dianggarkan berjumlah AS$13.5 billion (RM40.8 billion).