SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , , , , » Hiburan : Bapa Borek Anak Rintik

Hiburan : Bapa Borek Anak Rintik

Syafiq Yusof yang merupakan anak pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam muncul pengarah filem cereka komersial tanah air paling muda apabila dia diberi kepercayaan bapanya mengarahkan filem berjudul Sam.
Syafiq yang berusia 18 tahun dan merupakan anak bongsu jutawan filem tempatan itu akan mengarahkan filem terbaru terbitan syarikat produksi bapanya, Skop Production di mana penggambarannya akan bermula 8 Julai ini di sekitar Lembah Klang.
Syafiq Pengarah Filem Cereka Tanah Air TermudaMenurut Yusof, sudah sampai masanya dia terus menurunkan legasinya dalam bidang perfileman kepada anak-anaknya yang berminat dalam bidang itu termasuklah Syamsul Yusof yang kini merupakan salah seorang pengarah filem tersohor di negara ini.
“Saya pun sudah berusia 57 tahun. Sekarang ini saya masih sihat dan boleh memberi tunjuk ajar kepada Syamsul dan termasuklah Syafiq dalam selok belok pembikinan filem. Nanti kalau saya sudah tidak ada lagi (meninggal dunia) merekalah yang akan meneruskan legasi ini.
“Sudah sampailah masanya Syafiq diberi peluang itu walaupun dia masih muda remaja. Ini kerana, sejak kebelakangan ini dia telah menunjukkan bakat dan minat yang mendalam dalam bidang pengarahan drama mahupun filem terbitan Skop Production.
“Contohnya, tahun lalu saya pernah memberi peluang dan kepercayaan kepada Syafiq mengarahkan tiga episod drama bersiri Gerak Khas. Saya puas hati dengan hasil kerjanya itu,” ujar Yusof sewaktu ditemui selepas pelancaran filem Sam di Hulu Klang, Selangor semalam.
Pada majlis yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf itu, Yusof berkata dia yakin Syafiq mampu mengarahkan filem dengan kos RM1.6 juta itu dengan tunjuk ajar daripadanya.
Sementara itu, Syafiq yang merupakan pelajar bidang Penyiaran dan Perfileman di Kuala Lumpur Metropolitan College berkata, dia tidak menafikan berasa gemuruh apabila diberi peluang mengarahkan filem pertamanya yang dalam genre thriller itu.
“Saya tahu orang ramai akan menjangkakan macam-macam jangkaan apabila saya mengarahkan filem pertama saya ini. Buat masa ini saya tidak mahu kata apa-apa melainkan selepas filem ini habis menjalani penggambarannya. Apa pun saya akan buktikan bakat saya mengarahkan filem ini.
“Sebelum ini, saya pernah mengarahkan sebuah filem pendek bertajuk Along di mana seramai 65,000 orang telah menontonnya di U-Tube. Sambutan menggalakkan itu menambahkan lagi kepercayaan bapa saya bagi saya mengarahkan filem ini,” komennya.
Sam atau Saya Amat Mencintaimu yang skripnya ditulis oleh Syafiq dan sepupunya, Salih Mokthi membariskan pelakon handalan seperti Shaheizy Sam, Lisa Surihani dan Harun Salim Bachik itu juga diterbitkan dengan kerjasama syarikat E-mas.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir