Belum pun reda bahang perhimpunan Bersih 2.0 pada minggu lalu, beberapa pihak yang dipercayai penyokong Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah memulakan kempen untuk meninjau sokongan pelayar
internet tempatan dengan mewujudkan fan page Facebook – Bersih 3.0
Akaun tersebut boleh dibuka di
alamat berikut : Bersih 3.0Fan Page itu sedang berusaha mengumpulkan sebanyak mungkin pengikut.
Menurut sumber, kewujudan akaun tersebut juga akan menjadi kayu pengukur kejayaan Bersih 3.0 selepas Bersih 2.0 berjaya mengumpul puluhan ribu peserta walaupun pelbagai halangan dan sekatan dikenakan untuk menghalang warga tempatan menyertai perhimpunan Sabtu lepas.
Hari ini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pihaknya menyokong sekiranya Himpunan Bersih 3.0 diadakan pada masa akan datang demi untuk keadilan dalam pilihanraya.
Menurutnya, pilihanraya adil dan bersih dituntut dalam Islam kerana ianya menyentuh soal kepimpinan negara.
“Sedangkan menjaga diri sendiri juga wajib ikut cara Islam, dengan menikmati semua perkara halal, apa lagi soal mentadbir negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyatakan kesediaan menggerakkan massa untuk mengadakan himpunan Bersih sekali lagi, seperti diumumkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semalam jika kerajaan masih berdegil dan enggan mendengar tuntutan rakyat.
Sementara itu, Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga berkata, tidak pernah terlintas ataupun berniat gabungan itu bagi menumbangkan kerajaan BN.
BERSIH hanya mahu bekerjasama dengan kerajaan untuk memperbaiki sistem pilihan raya di negara ini, katanya.
“Bagi saya, tidak pernah menjadi niat kami sehingga sekarang untuk menumbangkan kerajaan ini. Kami hanya mahu bekerjasama perbaiki sistem pilihan raya,” jelasnya lagi.