
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, sempena sambutan Hari Telekomunikasi Sedunia 2011 esok, Rais mengingatkan pengguna Internet supaya tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberi seperti menggunakan teknologi tersebut untuk tujuan jenayah.
"Jangan masyarakat ada berfikir oh sekarang bebas, apa pun boleh buat. Tidak. Undang-undang negara harus dihormati," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Isnin.
Katanya, kerajaan melalui Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meletakkan kawalan terhadap internet termasuk jenayah siber dan yang berkaitan dengan hasutan serta pornografi.
Sehubungan itu, katanya, sebagai permulaan tiga pegawai SKMM dijangka akan dihantar menjalani kursus forensik multimedia sebagai satu kepakaran dalam menangani jenayah siber.
Katanya, kementerian sedang meneliti kursus-kursus sedemikian di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, manakala seorang pegawai kanan SKMM juga sedang berada di Geneva, Switzerland untuk membuat interaksi awalan bagaimana kepakaran tersebut boleh didalami pegawainya.

Katanya, SKMM dijangka akan menghantar kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut selepas siasatan selesai. -BERNAMA