Siapa pemilik sebenar jam tangan jenama Omega yang didakwa milik  seorang lelaki mirip pemimpin pembangkang dalam rakaman video seks akan  diketahui selepas polis menerima pengesahan daripada pihak pengedar jam  tersebut. 
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl  Sani Abdullah Sani berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu maklum  balas daripada pihak pengedar jam tangan tersebut yang beroperasi di ibu  negara bagi mengetahui pemilik sebenar jam tersebut.
Menurut beliau, maklumat mengenai pemilik sebenar jam mewah tersebut  akan dikenal pasti berdasarkan nombor siri yang terdapat pada jam  berkenaan.
"Kita sedang kenal pasti asal-usul jam itu... kepada siapa ia (jam  tangan) dijual dan di mana jam itu dibeli?" kata beliau pada sidang  akhbar di Bukit Aman di sini semalam.
Difahamkan, usaha untuk mengenal pasti pemilik jam tangan Omega yang  permukaannya berwarna emas manakala tali bersalut perak itu akan  mengambil masa kerana jam tersebut dipercayai sudah lama dibeli. Jam itu  diserahkan oleh ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah kepada  polis. 
Ketika ditanya berhubung dakwaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat  (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa jam tangan miliknya berada  dalam simpanan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Acryl  memberitahu: "Kita selesai (status pemilik) jam ini dulu."
"Keutamaan kita (adalah) pada siasatan video dahulu, baru jam dan lain-lain lagi," kata beliau.
