Menurut Sarah, ketika menerima pengkhabaran berita tersebut, Shuib yang turut berada disisi menangis sambil memeluknya.
“Selepas hari terakhir penggambaran filem Man Sewel Datang KL, saya rasa sakit perut dan Shuib membawa saya ke klinik.
“Tetapi bila doktor buat pemeriksaan dan ujian kehamilan dan dapati saya mnegandung, Shuib tanpa rasa malu menangis dan memeluk saya,” katanya ketika ditemui pada pelancaran filem Man Sewel Datang KL, di sini, Selasa.
Tambah Sarah, suaminya itu terlalu berharap untuk mendapatkan cahaya mata dalam masa terdekat ini.
“Setiap kali saya sakit perut atau loya-loya tekak, dia akan berharap saya mengandung dan kami telah buat beberapa pemeriksaan kehamilan.
“Tetapi hampa, sehingga saya nasihatkan dia jangan terlalu berharap kerana saya yang akan rasa sangat teruk jika tidak mengandung,” ujarnya.
Katanya, sejak berkahwin mereka semamangnya mengharapkan kehadiran cahaya mata bagi menceriakan rumah tangga.
“Saya bersyukur mengandung pada usia ini kerana saya sudah lama bersedia untuk jadi seorang ibu dan mempunyai keluarga yang lengkap.
“Malah kami merancang untuk mendapat empat orang cahaya mata,” katanya.
Sementara itu, Shuib yang berada disisinya memberitahu dia sangat terharu ketika mendapat tahu berita gembira tersebut.
“Saya yang paling gembira sehingga tak menghiraukan doktor yang berada di situ. Ketika bawa Sarah ke klinik, hati saya sudah terdetik yang dia mengandung.
“Alhamdulilah apa yang saya jangkakan betul, memang sukar untuk gambarkan perasaan saya apabila bakal melangkah ke satu fasa lain dalam hidup,” ujarnya.
Pasangan ini baru sahaja selesai penggambaran filem Man Sewel Datang KL dan berduet untuk lagu Cinta Itu Nyawasebagai lagu tema filem tersebut.
Shuib bakal melakonkan watak utama sebagai Man yang mempunyai penyakit sewel, berasal dari kampung dan berhijrah ke Kuala Lumpur setelah melihat kejayaan rakan sekampungnya yang bekerja di ibu kota.
Sementara Sarah pula melakonkan watak salah seorang kekasih Man bernama Salbiah. Dia memiliki sebuah butik di Kuala Lumpur dan mula mengenali Man setelah terlibat dengan kes ragut
Filem terbitan Work Move Production Sdn Bhd ini turut membariskan pelakon-pelakon handalan seperti Razali Hussein, Julia Ziegler, Rosnah Mat Aris dan Fida Ibrahim dan dijangka ditayangkan pada November depan.