Shahruddin Che Amat, 38, berkata selepas mendengar suara mangsa, dia bersama beberapa penduduk terpaksa meredah dan menebas belukar sejauh 10 meter sebelum menemui Mohd Hanif Hashim, 23, dalam gaung.
Mohd Hanif ditemui jam 12 tengah malam semalam dalam keadaan keletihan selepas sesat dalam hutan kira-kira tujuh jam.
Shahruddin berkata, sebaik mengenal pasti Mohd Hanif berada dalam gaung sedalam kira-kira enam meter itu, dia meminta dua remaja turun ke gaung untuk menyelamatkan mangsa.
“Kami dapat mengenal pasti lokasinya selepas berhubung melalui telefon bimbit serta butiran kawasan yang diberitahunya.
“Dua remaja kampung ini terpaksa turun ke gaung untuk membantu dan menyelamatkannya,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Hashim Ibrahim, 53, berkata anaknya kerap mendaki bukit berkenaan tetapi kali ini anaknya menggunakan laluan baru.
Katanya, Mohd Hanif menghubunginya jam 6.45 petang memaklumkan sesat di hutan itu sebelum dia meminta bantuan pihak berkuasa dan penduduk.
“Begitupun, saya bersyukur dia selamat ditemui dan hanya calar sedikit. Menurutnya, dia terjatuh dua kali ketika mencari jalan keluar sebelum kali terakhir jatuh ke dalam gaung,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat bermula kira-kira jam 7 malam dengan bantuan 200 orang yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan.
Selain penduduk, turut terbabit dalam operasi menyelamat ialah polis, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Bomba dan Penyelamat serta pertubuhan sukarela.
Dalam operasi itu, polis menggunakan pelbagai cara termasuk menyalakan bunga api serta tembakan cahaya merah (SOS Fire).
Difahamkan, kejadian orang hilang di bukit berkenaan sering berlaku, terutama selepas lewat petang.