Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang merupakan salah seorang trio 'Datuk T' bersumpah laknat bahawa pelaku dalam video seks melibatkan pemimpin pembangkang adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau melafazkan sumpah laknat berkenaan di hadapan media bersaksikan pembantu imam Masjid Amru Al-Asr Bandar Baru Sentul kira-kira pukul 4.15 petang Jumaat.
Shazryl Eskay memulakan upacara dengan mengucap dua kalimah syahadah sambil memegang senaskhah Al-Quran.
"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut:
"Wallahi wabillahi watallahi, aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang telah dirakamkan pada 21 Februari 2011.
"Dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut. Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini, maka Allah akan melaknat akan diriku" katanya.
Hadir sama ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga trio 'Datuk T' berkenaan adalah individu yang bertanggungjawab terhadap pendedahan video seks yang didakwa mirip Anwar yang juga Ketua Pembangkang.
Sebelum itu, ketiga-tiga trio berkenaan hadir di ruang solat utama kira-kira pukul 4.05 petang dengan memakai baju kalis peluru di dalam kemeja masing-masing.
Mereka kemudiannya menunaikan solat sunat sebelum menyempurnakan niat mengangkat sumpah.
Terdahulu seorang ustaz dipercayai seorang penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi nasihat kepada Shazryl Eskay agar tidak meneruskan sumpah laknat berkenaan kerana menurutnya tidak mengikut hukum Islam.
Selepas Shazryl Eskay menyempurnakan upacara sumpah berkenaan, sekumpulan ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang turut berada dalam ruang solat utama berkenaan bertindak menimbulkan kekecohan sambil melaungkan "tolak, tolak, tolak fitnah".
Bagaimanapun ketiga-tiga trio berkenaan terus dibawa keluar dari masjid berkenaan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.