SweetMuslimah.com

Mereka Yang Sudi Membaca

Home » , » 10 Cara Romantik Mohon Maaf

10 Cara Romantik Mohon Maaf

Sekiranya pasangan anda merajuk disebabkan sedikit perselisihan faham yang terjadi, sudah pasti anda memerlukan masa yang agak lama untuk memujuknya.
Namun jangan susah hati kerana di sini diperturunkan 10 kaedah untuk memujuk pasangan yang merajuk dengan cara yang paling romantik. Kaedah ini jika digunakan sebaiknya pasti akan berjaya.

Walau bagaimanapun, segalanya bergantung kepada kejujuran serta tahap usaha yang anda tunjukkan. Ini kerana mereka yang merajuk selalunya suka dipujuk dan dirayu sebagai tanda anda menghargai mereka serta menyesali perbuatan yang telah lalu.

Oleh sebab itu, jika teknik pertama tidak berjaya, gunakan teknik kedua dan seterusnya. Lambat laun, hati si dia pasti akan cair dan dapat memaafkan anda.

1. Hulurkan sejambak bunga ke rumah atau ke pejabatnya. Jangan lupa selitkan sekali kad ucapan yang ditulis kata-kata indah untuk memujuknya. Lebih romantik jika bunga pilihan anda, adalah bunga kegemaran si dia.

2. Coklat boleh memberikan ketenangan kepada mereka yang sedang berduka lara. Jadi, hadiahkan kepadanya sebagai tanda anda memohon maaf. Paling romantik jika coklat tersebut anda suapkan ke mulutnya sebagai tanda anda begitu mencintainya dan tidak boleh hidup tanpanya di sisi.

3. Tulis sebuah kad ucapan yang memuatkan 10 sebab mengapa si dia perlu memaafkan anda. Sebab pertama sudah tentulah kerana kamu amat mencintainya dan tidak mahu kehilangannya. Pasti si dia berbahagia apabila membaca kad ucapan yang ringkas tetapi cukup menyentuh hati itu.

4. Bagi mereka yang agak jiwang atau meminati muzik, apa kata kamu tujukan sebuah lagu kepadanya melalui radio kegemaran anda berdua dengan ucapan memohon maaf. Tambah romantik jika anda sendiri yang menyanyikan lagu tersebut. Si dia yang mendengar sudah pasti sangat terharu dan menghargai kesungguhan anda memohon maaf.

5. Jika berkesempatan, tunjukkan kemahiran memasak anda. Sediakan menu kesukaannya dan layanlah si dia sebaik mungkin. Dengan layanan yang baik serta hidangan yang lazat, si dia pasti akan melupakan rajuknya.

6. Bagi mereka yang berkemampuan, bawalah pasangan anda yang merajuk itu ke pusat-pusat percutian kegemarannya yang mampu memberikan ketenangan. Dengan suasana yang nyaman, si dia pasti lebih mudah mendengar penjelasan yang anda mahu berikan serta memaafkan anda. Bagi mereka yang kurang mampu, ajaklah si dia ke lokasi yang banyak menyimpan kenangan manis di antara anda berdua.

7. Imbas kembali kenangan-kenangan manis yang tercipta di antara anda berdua. Dengan kenangan manis tersebut, mohonlah maaf secara ikhlas dan nyatakan kekesalan anda di atas segala masalah yang terjadi. Tidak salah jika sesekali anda mengalah demi insan yang tersayang. Apa yang penting hubungan cinta yang terjalin tidak putus di pertengahan jalan.

8. Hantarkan sekeping kad memohon maaf dan sekuntum bunga ke kediamannya sebelum dia keluar bekerja. Si dia pasti akan terharu melihat kesungguhan anda yang sanggup bangun awal pagi semata-mata untuk menyatakan maaf. Jika si dia telah memaafkan anda, ambil kesempatan itu untuk menghantarnya ke tempat kerja dan elakkan perbualan ke arah punca perselisihan faham yang terjadi sebelum ini.

9. Ada juga individu yang tidak mempercayai daya tarikan yang ada pada sekeping kad atau sejambak bunga untuk meminta maaf. Kalau begitu gunakan kata-kata indah yang paling romantik untuk memohon maaf. Paling penting hadir dengan wajah yang ikhlas serta senyuman yang jujur. Harus diingat, wajah mereka yang terpaksa sangat mudah kelihatan dalam situasi seperti ini.

10. Cara terakhir, apa kata anda hantarkan SMS atau emel yang mampu membuatkan si dia ketawa. Dalam masa yang sama, turut selitkan kata-kata maaf agar si dia dapat memaafkan anda. Mood yang baik serta suasana yang ceria mampu mengembalikan rasa percaya si dia kepada anda. Tetapi awas, jangan ulangi kesilapan yang sama buat kali kedua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Jom Baca...Terhangat Di Blog Chegu Zubir