KUALA LUMPUR: Seniman filem Melayu klasik, Datuk Mustapha Maarof, 79,
meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju,
di sini, jam 8.38 pagi tadi.
Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof meninggal di wad
Unit
Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dua minggu mendapatkan
rawatan akibat penyakit paru-paru.
Jenazah akan disempurnakan di hospital dan disembahyangkan di Masjid
Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ampang yang
dijangka selepas Zuhur.
Suami kepada Allahyarhamah Roseyatimah dikenali dengan filem seperti
Hang Tuah, Bawang Putih Bawang Merah, Seri Mersing dan Sultan Mahmud
Mangkat Dijulang.
Profil
1) Datuk Mustapha Maarof dilahirkan pada 1 Januari 1985. Berasal dari Kuala Lumpur dan kini berusia 79 tahun.
2) Memulakan kerjaya lakonan di era 50-an.
3) Sebelum menikahi Allahyarhamah Roseyatimah, Mustapha pernah
memperisterikan pelakon jelita, Suraya Harun dan mereka dikurniakan
seorang cahaya mata bernama Suzlynna. Namun perkahwinan itu hanya mampu
bertahan selama tiga tahun sahaja apabila mereka berpisah pada tahun
1965.
4) Mustapha dan Allahyarhamah Roseyatimah mendirikan rumah tangga
pada 1967, dikurniakan tiga anak iaitu Azlynna, Mohamad Rezainuddin dan
Mohammed Khairuddin, namun Mohammed Khairuddin meninggal dunia akibat
denggi ketika berusia tiga tahun.
5) Sudah berlakon lebih 50 filem dan beratus-ratus drama televisyen,
sama ada di Malaysia mahupun Singapura, kini lebih aktif bekerja di
sebalik tabir sebagai produser drama dan iklan komersial serta video
korporat menerusi Warna Motion Pictures.
6) Selain itu, beliau juga sibuk dengan aktiviti berpersatuan. Pernah
menerajui Persatuan Seniman dan menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS.