Syarikat-syarikat telekomunikasi (TELCO) di negara ini akhirnya  tunduk kepada desakan orang ramai dengan menangguhkan caj cukai  perkhidmatan tambah nilai dan pek permulaan SIM pelan prabayar.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim  berkata, TELCO telah bersetuju menangguhkan caj cukai tersebut sehingga  perbincangan di antara syarikat-syarikat itu dengan Suruhanjaya  Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diadakan.
“Mereka (TELCO) telah setuju untuk tangguhkan..setakat ini, itu saja  kita boleh diberitahu,” katanya ketika dihubungi media selepas  menghadiri satu mesyuarat bersama beberapa wakil syarikat TELCO  terbesar, terdiri dari Maxis Berhad, Celcom Axiata Bhd, DiGi  Telecommunication Sdn Bhd dan Umobile Sdn Bhd di sini hari ini.
TELCO sebelum ini mengumumkan akan mula mengenakan caj cukai  perkhidmatan terhadap semua pelanggan pelan prabayar melalui tambah  nilai dan pek permulaan SIM sebanyak enam peratus pada 15 September ini.
Tindakan tersebut telah mendapat bantahan perbagai pihak seperti   pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan pengguna dan orang  ramai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu meminta TELCO  untuk mempertimbangkan semula keputusan mereka untuk mengenakan caj  tersebut kepada hampir 14.6 juta rakyat negara ini yang menggunakan  pelan prabayar tersebut.
Kabinet tidak pernah meluluskan kepada TELCO untuk mengenakan caj  sebanyak enam peratus itu kepada pengguna mereka.
 

 
 
 
 
